Followers

Friday, December 18, 2009

Rahsia A Muhammad Afiq Ahmad Anuar


Muhammad Afiq Ahmad Anuar


Sebagai pembakar semangat dan api perjuangan, XY - Ikon Lelaki berkongsi rahsia kejayaan penerima Anugerah Pelajar Cemerlang - Berita Harian (APC-BH) 2008, Muhammad Afiq Ahmad Anuar...

TERSERLAH rekod akademik remaja ini sebaik beliau berkongsi keputusan yang diperolehnya dalam tiga peperiksaan umum pada sesi temuramah dan fotografi yang berlangsung di Balai Berita, minggu lalu.

Untuk rekod, Muhammad Afiq Ahmad Anuar, 18, memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR); 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 10A dalam SPM. Begitulah profail akademik remaja ini yang mampu membuatkan siapa saja kagum dan tidak kurang juga cemburu.

Bagi Muhammad Afiq, tiada yang mustahil untuk pelajar lulus cemerlang andai tumpuan diberi 100 peratus setiap kali guru mengajar di kelas. Selain itu, latihan tambahan amat penting untuk menjadikan diri mereka lebih mahir dalam sesuatu subjek atau topik.

"Kejayaan setiap individu cukup subjektif. Ini kerana, bagi saya ia bergantung kepada pembawaan diri dalam menentukan masa depan.

"Tidak ada siapa yang dapat mengubah nasib melainkan diri sendiri. Rugi jika kita mengambil sikap sambil lewa dan sekadar berpuas hati dengan kejayaan yang ada," kata Muhammad Afiq menampakkan kematangan dirinya.


Seperti anak muda lain, Muhammad Afiq mengakui beliau meluangkan waktu senggang untuk beriadah atau melakukan aktiviti hujung minggu bersama teman.

Namun, beliau akan memastikan tumpuan terhadap pelajar tidak terganggu dan setiap kali menelaah, ia dilakukan bersungguh-sungguh.

"Setiap kali belajar, saya melakukannya dengan penuh perhatian. Lazimnya, saya meluangkan hingga lima jam sehari untuk menelaah pelajaran.

"Penting untuk kita kuasai tip belajar dan saya sering ditekankan dengan konsep kualiti pelajaran berbanding kuantiti," katanya yang baru memulakan pengajian persediaan di Kolej Mara Banting, Selangor, sebagai persediaan ke luar negara.


Ditanya apakah beliau tidak merasa tertekan untuk terus konsisten dalam pencapaian akademik, Muhammad Afiq berkata, semua itu bukanlah persoalan utama kerana yang lebih penting ialah aspek persediaan awal menghadapi peperiksaan.

Muhammad Afiq berkata, pelajar yang giat mengulang kaji pelajaran lebih mudah menjawab soalan. Katanya, ini kerana kebanyakan soalan berkisar teknik dan formula yang serupa seperti yang dipelajari sebelum ini.

XY - Ikon Lelaki terus selami sisi cemerlang Muhammad Afiq dalam meniti tangga kejayaan...

Boleh ceritakan perkembangan terbaru anda?

Sejak Jun lalu, saya menuntut di Kolej Mara Banting. Ini adalah langkah permulaan saya untuk melanjutkan pengajian ke luar negara, Insya Allah. Saya memilih jurusan perubatan dan mensasarkan impian melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK), dua tahun lagi.

Mengapa bidang perubatan yang menjadi pilihan anda?

Sejak kecil, saya bercita-cita menjadi doktor. Selepas bersekolah, alhamdulillah saya nampak ada peluang cerah menuju ke arah itu melalui rekod akademik saya. Saya bercita-cita menjadi pakar jantung kerana mahu melahirkan lebih ramai doktor jantung di Malaysia.

Apakah keluarga mendorong anda menjadi doktor hingga anda memilih bidang perubatan sebagai disiplin pengajian?

Kedua-dua ibu bapa saya bertugas sebagai guru. Menjadi doktor sudah menjadi impian saya sejak kecil. Keluarga saya sangat memahami dan menyokong setiap apa yang saya lakukan.

Bagaimana anda dapat mengekalkan rentak kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran?

Perkara utama bagi saya adalah fokus kepada guru yang sedang mengajar dalam kelas. Pada masa sama, giat mengulang kaji pelajaran dan berkongsi tip belajar dengan rakan-rakan.

Adakah anda mengikuti kelas tambahan untuk meningkatkan pencapaian dalam sesetengah mata pelajaran?

Seperti di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), setiap pelajar berpeluang mengikuti kelas tambahan yang dikendalikan guru. Selain itu, faktor suasana di asrama menyebabkan pelajar biasa dengan persekitaran yang mementingkan pembelajaran.

Ceritakan detik kejayaan menerima Anugerah Pelajar Cemerlang - Berita Harian 2008?

Keluarga yang mencalonkan saya. Saya memang konsisten mengikuti setiap seminar pendidikan yang dikendalikan Berita Harian sejak sekolah rendah hingga sekolah menengah. Memang saya tidak sangka terpilih dan gembira dengan penghargaan ini.

Adakah faktor sekolah menyumbang kepada kejayaan pelajar?

Saya tidak fikir begitu kerana pelajar sendiri yang menentukan nasib mereka selepas guru berhempas pulas memberi ilmu. Ketika bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Karangan Kulim, saya dan seorang lagi pelajar Cina muncul pelajar yang mencatat keputusan 8A dalam PMR.

Kalau hendak tahu, sebelum ini, tidak ada seorangpun pelajar sekolah itu mencapai keputusan sama.

Fokus untuk mencapai keputusan cemerlang kadangkala mengabaikan aktiviti berpersatuan dan sukan. Bagaimana pula dengan anda?

Saya tidak hanya memberi tumpuan kepada pelajaran saja, sebaliknya saya juga bergiat dalam aktiviti berpersatuan. Ketika di MCKK, saya terpilih mewakili sekolah dalam program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) serta terpilih menjadi tokoh PRS peringkat kebangsaan.

Saya juga pernah melawat India pada 2007 bagi menyertai Perhimpunan Pembangunan Komuniti dan Pemimpin membabitkan pelajar dari enam negara.

Apa nasihat anda kepada calon SPM yang akan mula menduduki peperiksaan, Rabu ini?

Saya berharap mereka memberi sepenuh perhatian ketika menjawab soalan dan usah sesekali menjawab sambil lewa. Buat persediaan rapi dan jaga kesihatan sepanjang tempoh peperiksaan.

Antara markah 9G dan doktor jantung...

BIARPUN Muhammad Afiq sering mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, sebagai manusia biasa, anak muda ini juga pernah memperoleh keputusan mengecewakan.

Tanpa cuba berselindung, anak sulung daripada tiga beradik ini mengakui beliau pernah mencatat keputusan 9G iaitu gagal dalam subjek Fizik ketika baru memulakan pengajian tingkatan empat di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Berbanding pelajar lain yang memperoleh keputusan membanggakan dalam subjek itu, Muhammad Afiq mempunyai cerita sendiri mengapa ia berlaku.

"Saya ketinggalan pada minggu-minggu awal semester malah tidak dapat menyertai minggu orientasi pelajar baru kerana menghidap demam campak.

"Sudahlah tidak dapat mengikuti kelas seperti pelajar lain, saya juga tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran menyebabkan saya gagal dalam mata pelajaran Fizik," katanya yang bersedih selepas memperoleh keputusan peperiksaan itu.

Namun, berkat dorongan ibu bapa dan semangat tidak kenal erti, Muhammad Afiq bingkas bangun dan menguasai subjek Fizik. Dalam SPM tahun lalu, remaja ini membuktikannya dengan memperoleh A1 dalam mata pelajaran itu.

Kata Muhammad Afiq, amat penting bagi pelajar menumpukan perhatian kepada pelajaran terutama ketika dalam kelas serta tidak malu bertanya kepada guru dan rakan-rakan.

"Jangan pendam apa yang kita tidak tahu. Kita perlu segera bertanya perkara yang kita tidak tahu untuk memudahkan proses pembelajaran," katanya.

Ditanya lebih lanjut soal cita-citanya, Muhammad Afiq berkata, sudah menjadi impiannya untuk menjadi pakar jantung kerana Malaysia kekurangan kumpulan profesional itu. Beliau juga mahu membantu usaha mengurangkan kes penyakit jantung di negara ini.

"Biarpun belum lagi tercapai cita-cita itu, saya saya sudah mengkaji skop kerjaya doktor jantung. Semoga cita-cita ini menjadi kenyataan." katanya penuh harapan.

INFO: Keputusan SPM Afiq
Bahasa Malaysia A1

Bahasa Inggeris A1
Pendidikan Islam A1
Sejarah A1
Kimia A1
Matematik Tambahan A1
Matematik A1
Fizik A1
Biologi A2
English For Science and Technology A2.

5 tip kejayaan... Afiq

  • Tumpu 100 peratus perhatian dalam kelas
  • Bertanya terus kepada guru dan rakan jika tidak faham
  • Giat membuat latihan
  • Jangan mudah putus asa dan gigih memperbaiki kelemahan
  • Sentiasa bermotivasi dan berfikiran positif.

    Muhammad Afiq Ahmad Anuar
    Umur: 18 tahun
    Tarikh lahir: 22 November 1991
    Tempat lahir: Sungai Petani, Kedah
    Tinggi: 172 sentimeter
    Berat: 58 kilogram.
  • No comments:

    LinkWithin

    Related Posts with Thumbnails