Followers

Saturday, June 5, 2010

Pesta Sungai Melaka 2010



Pesta Sungai Melaka 2010

MELAKA: Buat julung kali, Pesta Sungai Melaka 2010 bakal mencipta sejarah apabila dijangka bakal diadakan selama 30 hari bermula 1 hingga 30 Jun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Baharom Majid berkata, pesta kali ini diadakan lebih lama berbanding tiga penganjuran sebelum ini kerana ia bersempena sambutan Sukan Malaysia Ke-13 bermula 10 hingga 19 Jun depan.


Menurutnya, sebanyak 110 acara disusun sepanjang 30 hari berlangsungnya pesta itu berbanding cuma tiga hari sejak kali pertama dianjurkan pada 2007, tujuh hari (2008) dan sembilan hari pada tahun lalu.


Katanya, sempena penganjuran pesta berkenaan, pihaknya mensasarkan seramai 500,000 pelancong akan hadir sepanjang pesta itu dengan 260,000 daripadanya dijangka akan menyusuri Sungai Melaka menggunakan bot Melaka River Cruise.


‘Walaupun jumlah 260,00 itu agak besar, namun kita yakin ia tidak mustahil untuk dicapai. Malah, sepanjang lima bulan pertama tahun ini, seramai 215,00 pelancong menggunakan perkhidmatan bot berkenan,’ katanya.


Menurutnya, sebanyak 110 acara akan berlangsung di enam lokasi utama penganjuran iaitu di Taman Rempah, Kampung Morten, Pirate Park, Padang Nyiru, Jonker Walk dan Dataran Sungai Melaka. Katanya, antara acara yang akan diadakan seperti perarakan bot berhias, kereta lembu, beca berhias, kereta dan motosikal antik, basikal tua serta motosikal berkuasa tinggi.


Turut diadakan ialah pertandingan perahu naga, bot kawalan jauh, melukis, fotografi, cabaran badang, tangkap itik dan pukul bantal yang berkonsepkan gagasan 1Malaysia dengan memaparkan keunikan kepelbagaian budaya dan kesenian masyarakat berbilang kaum di negara ini.


“Semua acara akan membabitkan aktiviti bercorak ilmu pengetahuan, seminar, sukan air, kempen kesedaran, pameran, kemahiran dan hiburan.” katanya.


Majlis dijangka disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, kira-kira jam 8.30 malam pada 5 Jun depan. Turut dijangka hadir, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails